BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, September 30, 2009

Sepetang Di Pantai

Sepetang di pantai adalah sesuatu yang aku inginkan selalu. Aku tenang pabila aku berada di pantai. Segala masalah aku hilang seketika.

Sepetang di pantai... Aku suka melihat keindahan pantai. Hanya ombak laut dan matahari yang bakal terbenam menjadikan aku seronok melihat keindahan alam. Tenang, damai dan indah tatkala aku melihat semua itu. Aku bersyukur pada Yang Maha Esa kerana mencipta keindahan ini.

Sepetang di pantai... Aku gembira melihat kanak-kanak bermain di pantai bersama ibu bapa mereka. Melihat gelagat orang ramai yang datang dengan pelbagai tujuan. Ada yang bermain layang-layang, bergurau senda, memancing, bersiar-siar bersama keluarga dan tidak kurang juga pasangan muda yang ingin melepaskan rindu bila sudah lama tidak berjumpa.

Sepetang di pantai... Aku tenang pabila suatu hari aku terdengar gesekan biola dari salah seorang pungunjung pantai. Merdu sungguh lagu yang dimainkan sehingga aku terlupa seketika tentang apa yang dah berlaku pada diriku semenjak seminggu yang lalu. Lagu itu seolah-olah menjadi lagu tema dalam sebuah drama yang melibatkan aku sebagai pelakonnya. Melihat pantai serta menyaksikan matahari terbenam sambil berfikir sesuatu tentang diriku.

Sepetang di pantai... Adakalanya aku terfikir tentang masa depan diriku. Cuba merancang sesuatu yang perlu aku lakukan untuk kebaikan diriku. Adakalanya aku terkenang apa yang dah berlaku pada diriku. Cuba menilai kelemahan yang ada pada diriku untuk memperbaiki diriku yang serba kekurangan.

Sepetang di pantai... Aku ingin merasai lagi perasaan ini di dalam suasana yang sebegini di masa yang akan datang. Cuma aku tidak tahu bila masanya lagi.. Aku harap aku akan dapat merasainya kembali kerana pada waktu itu aku dapat mengetahui siapa diriku yang sebenar.